Antara Perundangan Syariah dan Sivil

Bayangkan situasi ini. Peguam bernama Ali, Ah Chong dan Muthu berhujah di depan hakim Ahmad, Ah Seng dan Samy. Kesemua pengamal undang-undang ini meneliti fakta kes dan merujuk kepada semua sumber perundangan seperti Perlembagaan Negara dan Kanun Keseksaan. Akta Undang-undang lazim (common law iaitu diwarisi dari penjajah British) yang lainnya turut disemak dan diperdebatkan. Namun demikian, walau apa pun rumusan yang dicapai, kesemua mereka bersepakat untuk memastikan hujah yang disampai dan didengar sentiasa selari dengan prinsip Al-Quran dan Hadis.

Apakah senario di atas mungkin berlaku? Apakah sistem perundangan Malaysia yang diwarisi dari British mampu diubah? Mahukah kita melihat negara ini mempunyai sistem undang-undang tersendiri yang bebas, merdeka dan berdaulat? Bolehkah mahkamah sivil dan mahkamah syariah bergabung?

Jawapannya sudah jelas di depan mata. Ia diungkapkan secara bijaksana tidak lain dan tidak bukan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad. Ketika membentangkan syarahannya di University Harvard baru-baru ini, beliau menyebut bahawa undang-undang lazim (iaitu common law) dan undang-undang syariah boleh diharmonikan melalui penggabungan kedua-dua mahkamah sivil dan syariah.

Namun, beliau pantas memberikan syarat. Katanya, ia akan dicapai dengan syarat ia diamalkan di negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam (Malaysia melepasi syarat ini) dan melenyapkan sikap prejudis di kalangan pengamal undang-undang.

Hakikatnya, sistem kehakiman negara kita sudah lama dibelenggu dengan pelbagai dilema dan konflik. Percanggahan pendapat dan perbezaan pandangan di kalangan ahli akademik, pengamal undang-undang dan para hakim tidak dapat dielakkan kerana sistem perundangan kita yang bercelaru hasil warisan penjajah British.

Antara akta yang berasaskan undang-undang Inggeris ialah Akta;

Kontrak 1950, Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah. Akta-akta ini adalah hasil pengkanunan prinsip Common Law Inggeris, iaitu segala kes yang diputuskan oleh mahkamah Inggeris akan dibawa masuk dalam sistem perundangan negara. Keadaan itu menguatkan lagi status undang-undang Inggeris berbanding undang-undang tempatan.

 

Konflik

Apa yang merumitkan keadaan ialah apabila tercetusnya konflik untuk menentukan mahkamah mana yang akan membicarakan sesuatu kes apabila isu-isu yang dihujahkan terletak di bawah bidang kuasa kedua-dua mahkamah sivil dan syariah.

Pertikaian juga sering berlaku apabila sesuatu kes melibatkan bidang kuasa mahkamah syariah tetapi salah satu pihak yang membawa kes itu ke mahkamah bukanlah seorang yang beragama islam. Oleh kerana mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes yang melibatkan orang bukan Islam, timbullah masalah – mahkamah mana yang akan mendengar kes itu?

Situasi ini pernah berlaku dan akan terus berlaku dalam kes-kes yang melibatkan suami tidak bertanggungjawab. Ada sang suami yang tergamak mengisytiharkan dirinya keluar Islam (murtad) kerana tahu kaedah untuk mengelakkan diri daripada tertakluk kepada undang-undang syariah. Dengan demikian, sang suami itu akan berhujah bahawa mahkamah syariah tidak layak memerintahkannya untuk membayar nafkah edah isteri yang diceraikannya itu. Justeru, terlepaslah dia dari segala kewajipan terhadap bekas isteri dan bayaran nafkah terhadap anak-anak. Ini kerana mahkamah syariah tidak lagi mempunyai bidang kukasa untuk membicarakannya yang kini sudah pun keluar dari agama Islam.

Adakah ini bentuk kehakiman yang ingin kita pertahankan? Adakah selepas negara ini merdeka berpuluh tahun lamanya, kita hanya mampu berpeluk tubuh dan membiarkan semua konflik ini berterusan tanpa penghujungnya? Adakah rakyat bebas memperolok-olokkan undang-undang disebabkan oleh kepincangan (loopholes)sistem perundangan kita?

Menyedari perkara ini, Tun Abdul Hamid telah menyarankan sesuatu yang mampu merubah wajah sistem kehakiman negara. Harapan beliau begitu jelas sekali, iaitu mahu melihat konflik ini diselesaikan segera. Jalan penyelesaiannya ialah dengan menggabungkan kedua-dua sistem mahkamah sivil dan syariah. Jika ini dapat direalisasikan, kita bakal melihat hakim yang sama boleh melihat hakim yang sama boleh mendengar kedua-dua kes sivil dan syariah, manakala peguam bukan Islam mampu berhujah mengenai isu yang melibatkan syariah. Pada masa yang sama, para hakim dan peguam yang berlatarbelakangkan pengajian syariah mampu mentafsir undang-undang perlembagaan dengan tepat.

Inilah yang dikatakan pengharmonian undang-undang sivil dan syariah. Proses ini boleh menjadi kenyataan kerana amalan perundangan  pada masa ini sudah pun menampakkan cirri-ciri sedemikian.

Contoh yang paling jelas ialah undang-undang berkaitan perbankan Islam. Ketika ini, ramai pakar dari kalangan bukan Islam yang sudah lama menceburkan diri dalam bidang sistem kewangan dan takaful Islam. Hasilnya, banyak produk yang berlandaskan syariah Islam diperkenalkan seperti akaun simpanan, akaun semasa, kad kredit, takaful dan sukuk. Jika orang bukan Islam sudah mula menguasai cabang undang-undang syariah, petanda ke arah keharmonian undang-undang sivil sudah jelas menampakkan sinarnya.

Semua ini mestilah bermula dengan asas ilmu. Penggabungan sistem sivil dan syariah akan hanya menampakkan hasilnya jika semua pengamal undang-undang terus mempelajari, memahami dan ingin mengamalkan kedua-dua bidang sivil dan syariah.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), misalnya, sudah lama merintis usaha ke arah pengharmonian undang-undang sivil dan syariah. Sukatan pelajaran bagi pelajar Kuliyyah Undang-undang digubal dengan mantap untuk melengkapkan bakal hakim dan peguam yang terlatih dalam semua aspek perundangan.

Pendek kata, pelajar jurusan undang-undang perlu didedahkan dengan skop ilmu perundangan yang holistik dan universal. Prinsip keadilan sejagat menguasai segenap minda dan perlakuan. Perjuangan sebagai pegawai keadilan adalah yang lebih utama daripada menang bicara kes anak guam. Mencapai keadilan sebenar dapat diperoleh melalui usaha meletakkan hak kepada mereka yang berhak.

 

Maqasid Syariah

Bagi tujuan ini, mereka yang sudah lama berkecimpung dalam bidang undang-undang perlu bersikap terbuka dan berfikiran positif. Sudah tiba ketikanya, kita tidak lagi mengehadkan pengetahuan undang-undang kepada satu cabang sistem sahaja. Hakim mahkamah sivil mesti mendepani isu ini dengan berusaha  memahami sistem perundangan syariah dengan lebih serius dan terperinci. Rakan-rakan Peguam-peguam sivil yang bijaksana perlu terus menghormati undang-undang syariah. Manakala pengamal undang-undang syariah pula meneruskan usaha mendalami sistem perundangan sivil termasuk menyerapkannya dalam amalan perundangan asalkan ianya tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah. Apa yang lebih penting ialah maqasid (objektif) syariah dapat dicapai. Keharmonian undang-undang ialah matlamat kita.

Saya percaya ramai pengamal undang-undang menunggu-nunggu saat ini. Waktu dan ketikanya di mana hakim yang sama boleh mendenga kedua-dua kes sama ada sivil dan syariah. Alangkah hebatnya jika semua peguam, mampu dan layak berhujah isu yang melibatkan undang-undang syariah dan sivil. Sudah tentulah tidak timbul lagi kes-kes tertunggak yang bertimbun di mahkamah akibat pertikaian dan konflik yang mencengkam bidang kuasa siapa dan dimana.

Kalau harapan dan cadangan ini dinyatakan oleh Tom, Dick atau Harry mungkin kita boleh memandang sepi dan anggap ia hanya satu pandangan kerdil. Tetapi, cadangan ini lahir dari bekas penjawat tertinggi sistem kehakiman negara. Jika kita penggubal dasar ahli politik, pengamal undang-undang dan rakyat terbanyak tidak mahu mendengar saranan Ketua Hakim Negara- nasihat siapakah lagi yang harus kita dengar?

 



Administrator (25.02.2011 (17:24:25))
1 Quote :
terima kasih untuk maklumat ini


Tuan/Puan,
Terima kasih atas maklum balas
Quote
qrieya (13.02.2011 (17:12:53))
1 terima kasih untuk maklumat iniQuote


1000 Characters left