Apabila Pembunuhan Boleh Dimaafkan

Baru-baru ini, seorang kenalan melahirkan rasa hairan mengenai satu keputusan mahkamah berkaitan satu kes pembunuhan. Beliau terkejut kerana tertuduh dalam kes itu telah dibebaskan walaupun banyak bukti yang cenderung menunjukkan beliau bakal menerima hukuman di tali gantung.

Sujujurnya, ini bukan kali pertama saya diajukan persoalan seperti itu. Lantaran itu, adalah menjadi kewajipan untuk saya sebagai seorang pengamal undang-undang untuk memperincikan isu ini bukan saja kepada kenalan yang kehairanan itu, malah saya mahu berkongsi dengan semua pembaca setia majalah ini.

Memanglah, mengikut undang-undang, perbuatan jenayah seperti membunuh dengan kejam adalah sesuatu yang tidak ada tolak ansur. Dalam kebanyakkan kes, mahkamah cenderung memerintahkan hukuman maksimum setimpal dengan perlakuan tertuduh, sekali gus sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Atas dasar itu, orang awam biasanya tertanya-tanya dan mungkin juga mempersoalkan tindakan pihak tertentu, terutama peguam yang membela kes ‘sudah terang lagi bersuluh’ iaitu tidak dapat disangkal lagi bahawa tertuduh yang melakukan perbuatan itu.

Tulisan ini tidak bermaksud menyentuh mana-mana kes secara khusus, tetapi adalah kupasan akademik berhubung prinsip asas undang-undang dan keadaan tertentu di mana seorang peguam boleh membantu anak guamnya mendapat kemaafan dari mahkamah.

Hakikatnya, ilmu perundangan dan undang-undang adalah satu bidang yang ‘hidup’ dan sentiasa bertindak balas dengan suasana semasa.

Pengamal profesion guaman berpegang kepada prinsip ini bersandarkan sifat dan fitrah undang-undang itu sendiri yang sentiasa diiringi dengan pengecualian atau apa yang disebutkan dalam istilah undang-undang’ exception to the general rule (pengecualian terhadap peraturan umum).

Sebagai contoh, seseorang pembunuh boleh terlepas daripada hukuman jika dia dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa tindakannya itu tidak disengajakan atau kerana dipaksa melakukan atau dipengaruhi sebab-sebab tertentu yang dapat diterima mahkamah (Seksyen 76-106 Kanun Keseksaan).

Dalam hubungan ini, izinkan saya mengimbas satu tragedi pembunuhan yang menggemparkan negara tidak lama dulu. Selepas bertahun-tahun perbicaraan diadakan, Mahkamah Tinggi akhirnya membebaskan tertuduh daripada tuduhan membunuh isterinya, selepas mendapati dia tidak waras ketika melakukan perbuatan itu.

Dalam penghakimannya, hakim menyatakan bahawa beliau berpuas hati bahawa tertuduh tidak mengetahui bahawa dia telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang. Dengan keputusan itu, tertuduh terlepas daripada hukuman mati di tali gantung. Bagaimanapun, dia diperintahkan menjalani rawatan di hospital pesakit mental sementara menunggu perintah selanjutnya oleh Yang di-Pertuan Agong.

Untuk makluman semua, kes membabitkan pembunuhan kejam berpunca daripada mental yang tidak normal berlaku di negara ini dari semasa ke semasa. Apabila bercakap mengenai keabnormalan, ramai orang cenderung mengaitkannya dengan tidak siuman atau mengikut istilah perubatannya, psikotik.

 

Psikotik

Sebenarnya, seseorang itu dikategorikan sebagai psikotik apabila mereka tidak dapat menilai kenyataan di mana kemampuannya untuk melihat sesuatu hakikat adalah terganggu. Antara penyakit mental yang sering menjadi bahan perdebatan pengamal undang-undang dan pakar perubatan ialah skizofrenia (schizophrenia).

Skizofrenia adalah sejenis gangguan mental yang kronik, misteri dan cukup tragic. Pesakit selalunya tidak berupaya membezakan antara yang nyata atau yang datang dalam imaginasinya. Mereka akan mendengar suara dan sering melihat visual dalam halusinasi yang sebenarnya tidak wujud.

Ada lebih 20 laman web yang memperkatakan mengenai skizofrenia, namun laman www.schizophrenia.com memberikan manfaat yang maksimum mengenai latar belakang, symptom, kaedah rawatan dan perkembangan terkini mengenai penyakit ini.

Punca penyakit ini masih misteri dan belum diketahui. Saintis dan doctor masih belum dapat menjangka siapa yang akan mengidap skizofrenia, walaupun factor genetic dikesan sebagai antara puncanya.

Menurut laporan Pertubuhan Psikiatri Malaysia, skizofrenia adalah penyakit mental yang serius dan menyerang mereka yang masih muda iaitu kurang 45 tahun. Skizofrenia ditandakan oleh kesan delusi, halusinasi, perlakuan yang aneh pada pandangan manusia normal atau mungkin juga kehilangan kawalan perasaan.

Delusi ialah satu fikiran yang secara logiknya adalah salah, tetapi mengikut pesakit pula adalah amat benar. Satu delusi yang paling kerap terjadi ialah delusi kecurigaan. Pesakit menyangka dia akan disakiti atau dibunuh sama ada oleh ayah, ibu, saudara mara atau kawan baiknya sendiri yang pernah suatu ketika dulu amat menyayanginya.

Halusinasi pula ialah tanggapan dari salah satu panca indera tanpa rangsangan sebenar. Contohnya, pesakit melihat sesuatu yang sebenarnya tidak ada, mendengar sesuatu yang kita tidak mendengarnya atau menghidu sesuatu yang kita tidak membaunya.

Ada pula yang mengatakan dia mendengar suara Tuhan, suara nabi serta lain-lain lagi dan yang anehnya, mereka menjawab suara-suara itu malah kadang-kadang berinteraksi dan mengikut ‘arahan’ suara ghaib.

Ilusi ialah salah tafsiran panca indera. Contohnya, mereka melihat muka orang yang berubah-ubah, jalan raya dilihat bergelombang dan kadang-kadang terpandang sesuatu yang ganjil dan menakutkan sedangkan manusia normal tidak dapat melihanya. Misalannya, mata kasar kita melihat objek yang tidak lebih dari sebatang tongkat tetapi pesakit menyifatkannya sebagai seekor ular.

Penderita penyakit mental yang mencecah tahap kronik, boleh menyebabkannya mendengar ‘suara ghaib’ yang mengarahkannya melakukan sesuatu di luar batasan, termasuk membunuh.

Bagaimanapun, peguam perlu berhati-hati jika mahu menggunakan hujah ini kerana mahkamah mesti terlebih dulu berpuas hati dan menerima sepenuhnya penjelasan pakar bahawa tertuduh bukan berpura-pura gila bagi maksud hendak melepaskan diri daripada hukuman.

Dalam kes jenayah, pihak pendakwa perlu membuktikan kewujudan dua elemen iaitu perlakuan salah (actus reus) dan niat yang salah (mens rea). Hanya setelah actus reus dan mens rea ini dapat dibuktikan barulah mahkamah boleh mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Penghujung bahawa tertuduh tidak siuman, mengalami halusinasi, sakit jiwa atau menghidap skizofrenia boleh dibuat mengikut Seksyen 84 kanun Keseksaan dan ia bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia perundangan.

Acute Mania

Misalnya, dalam kes Jusuh lawan Pendakwa Raya (1963) MLJ 84, orang kena tuduh (OKT) dituduh melakukan pembunuhan ke atas beberapa orang mangsa, termasuklah ahli keluarganya sendiri. Dalam prosiding jenayah berikutnya, terbukti bahawa OKT mengalami sejenis sakit jiwa yang teruk (acute mania)yang mana akibatnya dia tidak tahu apa yang dilakukan olehnya itu adalah menyalahi undang-undang.

Kes yang berikut berlaku di India lebih menarik lagi untuk di perdebatkan dan sering digunakan sebagai rujukan oleh pengamal undang-undang. Dalam kes Ashiruddin Ahmad lawan The King (1949) 50 Cr. Lj 255, OKT bermimpi pada satu malam bahawa dia berada di syurga. Dia mendapat ‘arahan’ supaya mengorbankan anak lelakinya.

Pada esok harinya, dia telah memandikan anak lelakinya yang berumur 5 tahun dan kemudian membawa anaknya itu ke sebuah masjid. Di situ dia menyuruh anaknya melakukan apa disuruh. OKT kemudian menutup matanya lalu memenggal leher anaknya itu dengan sebilah pisau.

Anaknya itu kemudian ditinggalkan di situ dan OKT kembali ke rumahnya. Di akhir prosiding jenyah di Mahkamah Tinggi Calcutta, mahkamah memutuskan bahawa OKT tahu apa yang dilakukannya iaitu mengorbankan anaknya.

Persoalan yang perlu diputuskan oleh mahkamah ialah apakah OKT tahu bahawa apa yang dilakukannya itu menyalahi undang-undang? Dengan semua keterangan yang diberikan, akhirmya mahkamah memutuskan bahawa OKT tidak waras fikiran akibat pengaruh mimpinya itu. Oleh itu, OKT tidak boleh disabitkan melakukan kesalahan membunuh.

Dari sudut Islam, orang yang tidak waras fikiran juga terlepas daripada hukuman yang boleh dikenakan kepada orang lain yang waras fikiran. Mengikut hadis Rasulullah s.a.w. tiga golongan tidak boleh dipertanggungjawabkan – iaitu kanak-kanak selagi dia belum baligh, orang yang tidur selagi dia belum jaga dan orang yang tidak siuman selagi dia belum sembuh (Imam Ahmad Ibn Hanbal, Musnad, Jld IV,p. 278).

Inilah serba sedikit yang boleh saya rungkaikan mengenai ‘kehairanan’ teman saya itu dan mungkin juga oleh sebahagian besar orang awam yang kurang arif berkenaan isu ini. Namun, ingin saya tekankan bahawa tugas rakan-rakan bijaksana saya bukanlah sekadar membela mana-mana individu atu cuba ‘menegakkan benang basah’. Tanggungjawab sebenar peguam ialah membantu mahkamah mencari kebenaran dan mencapai keadilan.

Hanya ketelitian dan keazaman yang tinggi mampu mengupas isu perundangan sebaiknya sekali gus meletakkan neraca keadilan pada kedudukan sewajarnya.

 



Administrator (13.02.2012 (17:10:13))
1 Terima kasih kerana bertanya dan berminat dengan firma kami.
Sila hubungi pejabat kami di talian 03 4142 8944 untuk temujanji/ maklumat lanjut.
Quote
Amiruddin (26.02.2011 (11:06:34))
1 Terima kasih atas pengetahuan yg tuan paparkan ini. Ia amat berguna untuk kita mengharmonikan lagi alam ini. Perundangan Islam amat luas dan mencakupi pelbagai bidang.

Semoga peguam2 Muslim seperti tuan dapat mempertabatkan Perundangan Islam di mata dunia. JazakalAllah hairan kathiran.

Teruskan Jihad Ilmu kerana Allah.

TK.
Quote


1000 Characters left