Si Tanggang Moden : Undang-undang Dunia dan Hukuman Akhirat

Adakalanya kita berasa amat marah, geram dan kesal. Ada ketikanya fikiran kita terganggu dek kerana terlalu beremosi tentang sesuatu perkara. Baru-baru ini, saya mengalami perasaan sedemikian. Ini semua gara-gara satu kes yang saya berpeluang mengikutinya secara peribadi. Pertikaian bermula di mahkamah apabila seorang anak perempuan mengusir ibu bapanya dari rumah. Kedengaran seperti kisah Si Tanggang bukan? Iya, memang derhaka sungguh si anak itu. Syahma (bukan nama sebenar) membuat onar sedemikian sebaik sahaja ibu-bapanya memindahkan milik rumah keluarga kepada namanya.

Geram bukan? Saya pasti anda merasa lebih marah daripada apa yang saya boleh bayangkan. Dalam keadaan negara maju dan menuju serba canggih, kita tidak ketinggalan dalam melahirkan Si Tanggang Moden!

Baiklah, mari kita lihat apa yang berlaku seterusnya.

Ketika memberikan penghakimannya, mahkamah telah dengan tegas menegur si anak kerana sikapnya yang seperti kacang lupakan kulit. Mengikut fakta kes, ibu bapa malang itu bersetuju memindah pemilikan hartanah kepada anaknya selepas dia berjanji, antara lain, menanggung nafkah ibubapa selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-duanya tinggal di rumah itu. Bagaimanapun, anak derhaka itu memungkiri janjinya dan mengusir ibubapa darah dagingnya sendiri dari rumah yang sudah dipindah milik kepadanya.

Saya dapat melihat reaksi mereka yang terlibat dalam perbicaraan itu yang tidak dapat menyembunyikan ekpresi muka yang amat marah dan geram. Hati bertambah membara melihatkan wajah selamba Si Tanggang seolah-olah tidak berasa malu, apatah lagi berasa berdosa dengan perbuatannya itu.
Kepada si anak berkenaan, ingin saya titipkan pesanan melalui sepotong ayat Al-Quranul Karim.

Allah berfirman maksudnya :"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa kamu." (Surah al-Isra ayat 23).

Dalam ayat itu, jelas menunjukkan bahawa berbakti kepada ibu bapa adalah satu perkara yang sangat dituntut oleh Islam.  Setelah kita mengakui bahawa Allah wajib disembah dan dituruti perintah-Nya, maka wajib juga ke atas diri kita berbuat kebajikan kepada kedua ibubapa.  Perintah ini bersesuaian dengan kedudukan tinggi dan mulia yangdiletakkan Islam terhadap ibu dan bapa.

Oleh itu, saya ingin mengingatkan diri sendiri dan berkongsi pandangan dengan pembaca sekalian bahawa  adalah penting bagi kita sebagai anak memberi penghargaan dan pengiktirafan sewajarnya kepada ibunda dan ayahanda kita.  Sekiranya mereka masih hidup, wajib bagi si anak mengambil berat makan dan minumnya, menjaga kebajikan dan memberi kasih sayang kepadanya.  Pulanglah menjenguk mereka di kampung sekerap mungkin supaya mereka rasa dihargai dan disayangi. Jika tidak mampu, hubungi mereka melalui telefon bertanyakan khabar dan berita di kampung.  Seterusnya, kirimlah wang kepada mereka agar boleh digunakan untuk keperluan keluarga di kampung. Lebih-lebih lagi sekiranya adik-adik masihbersekolah, wang yang dikirim pasti dapat mengurangkan bebanan kewangan mereka.

Sebenarnya, wang ringgit bukanlah pengukur utama kasih sayang anak-anak terhadap kedua-dua orang tuanya.  Kalau kita tidak mampu mengirimkan wang kerana mempunyai pendapatan yang kecil, ada cara lain untuk menghargai mereka iaitu sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka.  Sebagai anak, kita wajib mendoakan ibu bapa kita sentiasa dirahmati dandilindungi Allah. Sekiranya ibu bapa kita sudah meninggal dunia, tidak ada cara lain bagi kita menghargainya, selain mendoakan rohnya ditempatkan dikalangan orang beriman.  Dalam sebuah hadis, Nabi berpesan bahawa matinya seorang anak Adam itu, maka terputuslah hubungannya dengan dunia ini, kecuali tiga perkara iaitu doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu bermanfaat.  Dalam hal ini, kita patut merujuk pada kesinambungan ayat al-Quran yang bermaksud: "Jika salah seorang atau kedua-duanya sampai umur tua dalam pemeliharaanmu, janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'uh'(perkataan kasar) dan janganlah kamu membentak mereka, sebaliknya ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia." (Surah al-Isra ayat 23)  Demikianlah pengiktirafan Allah berikan kepada ibu bapa yang mesti disematkan dalam hati setiap anak.  Menyakiti hati dengan perkataan dan perbuatan, sudah berdosa apatah lagi mengusir mereka dari rumah!

Nabi Muhammad pernah bersabda yang maksudnya: "Keredaan Allah bergantung kepada keredaan ibu, manakala kemurkaan Allah pula bergantung pada kemurkaan ibu."  Itulah inti pati hadis Nabi yang perlu diambil iktibar daripadanya. Pada umumnya, orang yang berjasa perlu dihargai. Apatah lagi ibu bapa yangmendidik, mengasuh, menjaga kebajikan dan memantau perkembangan anak perlu diberi penghargaan sewajarnya.  Sebab itu, umat Islam mesti memastikan ibu dan bapa sentiasa reda diatas perilaku mereka bagi membolehkan mereka mendapat keredaan Allah.

Para pembaca sekalian sudah tentu mahu mengetahu keputusan penuh mahkamah berkaitan kes Si Tanggang tadi bukan?

Semestinya, hakim yang arif lagi bijaksana memberikan penghakiman yang berpihak kepada ibubapa berkenaan. Pertama, mahkamah memerintahkan si anak memberi nafkah kepada ibubapanya untuk tempoh sepanjang hayat. Seterusnya, mahkamah turut memerintahkan pasangan warga emas itu diberi kebebasan bergerak dan melakukan aktiviti dalam rumah itu serta kawasan persekitaran; diberi kebebasan dilawati anak lain pada bila-bila masa sepanjang hayat; menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta membiayai mereka mengerjakan haji.

Demikianlah satu lagi episod yang menyentap emosi saya sebagai seorang peguam.

Namun saya bersyukur bahawa keadilan telah pun diletakkan di tempatnya yang hak. Bagi Si Tanggang itu - betapa rugi dan hinanya dia - di dunia menerima hukuman undang-undang, di akhirat kelak pasti dicela! Na'uzubillahi minaz zalik, barang dijauhkan Allah dari kita semua...

 


1000 Characters left